PROJEK 'MEGA' AYAM KAMPUNG (Harian Metro)

Penternakan ayam kampung antara yang mampu menjana pendapatan dan kini kewujudan ladang ternakan itu pula kian menyeluruh di serata dunia. Mengikut rekod Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), terdapat 1,043 ladang ayam kampung di seluruh negara pada tahun lalu.

Angka ini adalah 22 peratus saja daripada keseluruhan ladang unggas. Dari segi jumlah ayam, ia pernah dicatat lebih 10 juta ekor. Namun, angka itu sentiasa berubah berikutan penjualan dan penggantian induk.

Ketua Pengarah JPV Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, pihaknya banyak menerima permintaan daripada penternak dan bakal penternak untuk membantu membimbing menjadikan penternakan ayam kampung sebagai satu projek besar serta berskala komersial.

Beliau berkata, JPV sangat berbesar hati untuk membantu penternak yang mahu berkecimpung dalam penternakan ayam kampung.

“Kami dalam usaha memperluaskan pensijilan kepada industri ayam kampung seperti dilakukan ke atas industri ayam pedaging.

“Pensijilan ini dapat memberi peluang pasaran kepada penternak terbabit. Sudah menjadi tanggungjawab jabatan ini membimbing dan membantu penternak.

“Jadi, mereka sentiasa berhubung dengan pegawai JPV di peringkat daerah dan negeri jika ingin mendapatkan khidmat nasihat, latihan dan bimbingan berterusan,” katanya selepas merasmikan Seminar Transformasi Ayam Kampung sempena Livestock Asia Expo dan Forum 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.

Turut hadir, Presiden Persatuan Usahawan Ayam Kampung Malaysia (PUSAKA) Ahmad Najib Habeb dan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Komoditi Ternakan JPV, Dr Mohd Hishammfariz Mohd Amin.

Dr Quaza Nizamuddin berkata, pihaknya akan menyediakan Panduan Rancangan Perniagaan bagi penternakan ayam kampung sebagai panduan untuk bakal penternak membuat persiapan.

“Saya terharu dengan kegigihan PUSAKA diterajui anak muda yang juga usahawan berjaya kerana menganjurkan seminar ini.

“Syabas saya ucapkan kepada presiden dan barisan kepimpinan PUSAKA yang menganjurkan seminar ini.

“Kepada peserta yang juga penternak dan bakal penternak sangat bertuah kerana dengan inisiatif PUSAKA ini dapat menimba ilmu pengetahuan serta pengalaman dari penceramah berpengalaman,” katanya.

Menurutnya, peserta berpeluang melihat sendiri pameran yang ada di Livestock Asia Expo dan Forum iaitu satu pameran berkenaan penternakan yang mengenengahkan teknologi dan inovasi terkini.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/agro/2018/05/340815/projek-mega-ayam-kampung 

Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my