Penternakan Ayam Kampung Asli Baka Sabung

Penternakan Ayam Kampung Asli Baka Sabung di Warisan Habeb Farm.

Pada asalnya ayam kampung ini telah lama diternak di Malaysia dan negara-negara dunia ketiga lain. Dengan kemasukan pedagang-pedagang luar suatu masa dahulu khususnya pedagang dari Negara China ini yang membawa baka ayam yang dinamakan Canton telah dikacukkan dengan ayam di sini maka lahirlah generasi kedua ayam kampung ini. Pada zaman penjajahan Inggeris di tanah Melayu pula mereka membawa baka dari negara Eropah maka dikacukkan dengan ayam-ayam yang terdapat di sini. Sejak itu lahirlah berbagai gelaran ayam kampung seperti ayam botak, ayam bulu balik, ayam selasih, ayam janggut, ayam laga atau ayam sabung, ayam togel, ayam katik atau ayam Jepun dan bermacam-macam lagi gelaran mengikut tempat dan loghat.

Ayam kampung dipelihara di kawasan perkampungan luar bandar dan ada sesetengah penternak menyediakan reban untuk ayam kampung ini tidur pada waktu malamnya. Jika penternak yang tidak menyediakan reban ayam, ayam-ayam kampung ini akan tidur di atas pokok yang renek bagi mengelak dari diserang oleh musang pada waktu malam.

Ayam kampung ini mestilah mempunyai peluang untuk bergerak aktif tanpa perlu dikurung pada waktu siang hari dan pandai mencari makanan tambahan seperti serangga kecil, ulat, belalang dan cacing serta bahan daripada tumbuhan seperti bijirin, buah dan dedaun termasuk dari spesies tumbuhan herba. Kebiasaanya penternak ayam kampung ini akan memberi makanan berupa sisa makanan, lebihan nasi, dedak, jagung, ubi dan sebagainya pada waktu sebelah pagi sebelum ayam-ayam ini berkeliaran mencari makanannya sendiri.

Ayam-ayam kampung ini begitu aktif bergerak dan pergerakan otot yang aktif serta pengambilan makanan berunsur organik menghasilkan daging yang lazat dan berkhasiat tinggi. Ciri-ciri daging yang enak dan berprotein tinggi tanpa kolesterol ini menyebabkan harga ayam kampung di pasaran adalah tinggi berbanding dengan harga ayam daging komersil. Daging ayam kampung ini juga agak liat, pejal dan manis berbanding dengan ayam daging komersil yang dijual di pasaran.

Selain itu baka ayam kampung ini mempunyai bulu tipis, lebih berat, kaki besar dan panjang, kulit berwarna kuning atau kemerahan-merahan. Ayam kampung KH-B1 diternak secara separa bebas dengan makanan komersil dan makanan berasaskan padi sebagai makanan utama. Ekstrak bawang putih, halia dan gula merah sebagai antibiotik juga rumput napier sebagai penyedap rasa dagingnya. Semburan BIO-TEC dilakukan secara berkala untuk menghapuskan bau yang tidak menyenangkan dan menghapuskan lalat juga sebagai minuman kesihatan kepada ayam. Berat ayam KH-B1 untuk dipasarkan ialah: Betina 1.7kg - 1.9kg, Jantan 2kg - 2.5kg.