Pengenalan Penyakit Ayam & Unggas

Penyakit ayam adalah perkara yang sering berlaku kepada penternak skala kecil atau besar. Ia berlaku tanpa diundang dan kadang kala akan menyebabkan kematian yang tinggi dan mengecewakan. Ini bukan sahaja merugikan penternak malah memberi impak negatif kepada pendapatan dan juga menggangu emosi penternak. Kebanyakan penyakit berjangkit disebarkan ke dalam reban dengan cara yang tidak disedari atau sengaja. Banyak lagi punca-punca yang mungkin menyebabkan penyakit samaada dalam kawalan atau luar kawalan.  Terdapat penyakit yang berpunca dari kecuaian penternak sendiri atau alam sekitar, dan ada juga yang berpunca dari bakteria, virus, protozoa dan lain-lain. 

Oleh itu, penternak harus peka, tahu langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan penyakit-penyakit ayam ini, mengenali jenis-jenis penyakit dan seterusnya mencari penyelesaian atau ubat yang bersesuaian dengan penyakit yang menyerang untuk meminiumkan kadar kematian atau mengelakkan daripada menjangkiti ayam-ayam yang lain. Terdapat penyakit yang berjangkit diantara ayam dengan kadar yang sangat cepat, ada juga yang tidak berjangkit. Jika penternak dapat mengambil langkah yang pantas, penyakit berjangkit mungkin dapat dielakkan dan menanggung kerugian yang lebih besar.

Panduan komprehensif ini, kami sediakan untuk membantu penternak yang baru mula berjinak dan juga yang telah berpengalaman supaya lebih memahami pelbagai penyakit ayam dan cara pencegahan dan mengatasinya. Kami percaya, "Prevention is better than cure" atau pencegahan adalah lebih baik dari pengubatan, jadi jom kita amalkan penternakan yang baik supaya ayam ternakan dapat hidup dan membersar dengan sihat. Pencegahan dan langkah awal membolehkan rawatan atau tindakan yang sesuai untuk dilaksanakan secepat mungkin untuk membawa keadaan yang terkawal untuk menghadkan kerosakan kepada reban anda.

Secara ringkas, prinsip utama pengurusan kesihatan ternakan adalah: 

  • Pencegahan penyakit
  • Kenalpasti awal penyakit
  • Rawatan awal penyakit