Madre de Agua sebagai makanan alternatif Ayam Kampung

Madre de Agua atau nama saintifiknya Trichanthera Gigantea, dan ada juga di Malaysia memanggilnya Ketum Ayam. Tetapi penulis, tidak begitu setuju dengan gelaran yang diberikan ini kerana walaupun rupa daunnya hampir sama dengan ketum (tetapi urat daun tidak bewarwan merah), ia memberikan gambaran negatif. Lagipun ia tidak memberi sebarang kesan khayal atu kesan lain seperti ketum, dan tiada kesalahan untuk menanamnya di Malaysia. Oleh kita, elok kita panggil Daun Madre sahaja, untuk memudahkan menyebutnya.

Kelebihan daun ini adalah kerana, ia mempunyai nutrisi yang baik yang berpotensi untuk mengurangkan penggunaan dedak, dan dapat mengurangkan kebergantungan pengeluar dedak dari mengimport sumber protein makanan ternakan terutamanya hampas kacang soya atau tepung ikan dan sebagainya. Kandungan protein Daun Madre (bahan terpenting untuk tumbesaran) adalah tinggi iaitu sehingga 23.3% setara dengan dedak starter dipasaran (19-21%), dan hampas kacang soya yang diimport (19.5%) . Oleh kerana pokok ini boleh membiak dengan mudah dan kurang serangan penyakit, ia amatlah sesuai diberikan kepada Ayam Kampung sebagai makanan alternatif atau makanan tambahan untuk penjimatan kos makanan penternak ayam kampung disamping memberikan kesihatan ayng kesan yang baik terhadap ayam kampung.

Pokok Madre adalah jenis renek tetapi boleh membesar sehingga 5M -10M. Ia mempunyai dahan yang agak kuat dan daun yang lebar mencecah 35x17cm berbentuk oval berhujung tirus. Ianya hanya mengeluarkan bunga apabila cukup matang. Seelokknya, pokok madre ini sentiasa di cantas, untuk mengelakkan ianya hidup terlalu tinggi dan sukar untuk memetik daunnya. Daun boleh mula dituai seawal sebulan selepas penanaman. Kandungan protein tertinggi didapati pada tempoh 2-3minggu dari daun mula bertunas. Anda disarankan untuk memetik daun pada setiap 2-3 minggu. Pokok yang berumur 4bulan selepas penanaman boleh menghasilkan sehingga 250gram daun segar pada setiap penuaian. Cantas pangkal pokok apabila meningkat tinggi sekitar 5kaki. Ini membolehkan tunas baru tumbuh di pangkal pokok, dan tunas ini lebih segar berbanding tunas yang tumbuh di dahan! Ia juga bertujuan untuk menyenangkan penuaian.

Daun Madre De Agua sesuai diberikan kepada haiwan ternakan ruminan seperti kambing, lembu; mahupun omnivor seperti ayam dan itik dan sebagainya. Ia boleh diberikan kepada haiwan ternakan secara terus /daun segar ini sebaik dipetik. Seeloknya gantungkan daun supaya mudah dicapai dan juga untuk mengelakkan kotoran. Ia juga sesuai diracik-racik kecil dan dicampur dengan bahan yang lain seperti padi dan lain-lain, untuk membantu menambah bau dan selera haiwan ternakan.