Bekas Jurutera TNB hasil makanan sihat untuk ternakan ayam kampung.

SINAR HARIAN 16-12-2017, Bekas jurutera TNB hasil makanan sihat untuk ternakan ayam kampung

Muar, Tangkak JOHOR : Siapa sangka daripada seorang jurutera, dia kini bergelar usahawan berjaya apabila usahanya menghasilkan makanan sihat untuk ternakan ayam kampung memberi impak positif. Ahmad Najib Habeb, 41, berkata,pengalamannya sebagai jurutera rangkaian selama tujuh tahun di Tenaga Nasional Berhad (TNB) dimanfaatkan dalam kerjaya baharunya untuk membuat kajian dan mencipta formula makanan ternakan yang tidak mengandungi antibiotic serta bahan terlarang. Menurut Pengarah Urusan Marzuq Bayu Sdn Bhd ini, formula untuk menghasilkan dedak ayam kampung itu dicipta sendiri setelah mengikuti banyak kursus termasuk di Bogor, Indonesia selain melakukan penyelidikan. “Dedak Warisan yang syarikat kami keluarkan tidak mengandungi antibiotik yang boleh memberi kesan tidak baik kepada manusia jika berlebihan dan tiada kawalan, sebaliknya kami menggunakan inovasi terkini iaitu probiotik. “Probiotik berkualiti amat bagus bukan saja untuk pembesaran ayam tetapi jugakualiti telur dan anak ayam. Ayam yang diberi makan dedak probitik akan lebih sihat dan cepat membesar,” katanya.

Walaupun baru memulakan penghasilan dedak ayam kampung pada2015, anak kelahiran Kampung Parit Medan, Kundang Ulu, ini sudah banyak mengikuti kursus sama ada di dalam atau luar negara bagi menimba pengalaman. “Saya berjumpa dengan pakar-pakar di Mardi dan Jabatan Perkhidmatan Vaterinar untuk belajar serta mengkaji mengenai ternakan ayam kampung bagi menambah pengetahuan,” katanya.

Hasilnya, dia kini mampu menarik nafas lega apabila usahanya menadapat keyakinan daripada ahli Persatuan Usahawan Ayam Kampung Malaysia (Pusaka) untuk menggunakan produk keluaran syarikatnya.