Baka Anak Ayam Mardi di Stesen Mardi Muadzam Shah, Pahang

Walaupun 5% dalam pasaran ayam negara, permintaan terhadap ayam kampung semakin meningkat berikutan rasanya yang lebih lazat, pejal dan kurang lemak. Sempena MAHA International 2012, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memperkenalkan baka ayam kampong MARDI yang telah dilancarkan oleh Y.B Dato’ Wira Mohd Johari b. Baharum, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Baka ayam kampung MARDI ini lebih baik daripada ayam kampung asli dari segi pertumbuhan, kadar peneluran, keseragaman warna bulu. Dagingnya pula teruji rendah lemak dan lebih pejal daripada ayam kampung kacukan yang biasa dijual di pasaran. Pemeliharaan baka ayam kampung MARDI ini memerlukan kaedah pemeliharaan dan pemakanan yang ringkas dan mudah berbanding ayam pedaging. Ia mampu memberikan pulangan yang lumayan kepada penternak berikutan harga ayam kampung asli dua kali ganda dari harga ayam kampung kacukan. Majlis ini turut dihadiri oleh Y. Bhg Dato’ Mohd Hashim Abdullah, Ketua Setiausaha, Kementerian  Pertanian dan Industri Asas Tani serta Y. Bhg. Datuk Dr. Abd. Shukor Abd. Rahman, Ketua Pengarah MARDI.